7 Fasa Asas Pengurusan Kewangan Wajib Anda Tahu

1. Pendapatan (Income)

-Untuk fasa pertama ini, perlulah kita menghasilkan pendapatan, tak kira samaada melalui gaji, upah, bisnes atau apa-apa sahaja yang mendatangkan wang. Yang penting, pendapatan tersebut   diperoleh melalui saluran yang betul mengikut undang-undang semasa dan bagi orang Islam, halal. Nilai kecil atau besar tidak menjadi masalah. Pendapatan yang kecil pun, jika diurus dengan   baik, masih boleh hidup dengan tenang. Pendapatan yang besar pula, jika tidak cerdik menguruskannya, hidup akan terasa sempit dan sesak.

2. Simpanan (Saving)

“Pay yourself first”
-Dalam pengurusan kewangan, ianya bermaksud sebahagian pendapatan yang diperoleh haruslah disimpan terlebih dahulu sebelum dibelanjakan. Bukannya sebaliknya. Dalam fasa kedua ini,   objektif utama adalah untuk membina dana kecemasan dan tabung untuk fasa pelaburan nanti. Tambahan lagi, fasa ini bertujuan untuk mendidik diri kita supaya berdisiplin dengan wang yang   ada. Jika menyimpan pun gagal, usah bermimpi nak lulus ke fasa-fasa yang lain.

3. Perbelanjaan (Expense)

-Baki wang selepas simpanan, itulah yang boleh dibelanjakan. Dalam fasa ini, kita perlu tahu ke mana wang kita dibelanjakan setiap hari, minggu dan bulan. Kita perlu mengenalpasti apakah   perbelanjaan keperluan dan perbelanjaan kehendak. Juga perlu mengenalpasti perbelanjaan tetap dan perbelanjaan boleh ubah. Dari situ, kita boleh merangka bajet sendiri supaya perbelanjaan   lebih terkawal. Macam mana nak kenalpasti? Kena rajin mencatatlah!

4. Perlindungan (Protection)

-Ramai sebenarnya yang sering mengabaikan fasa perlindungan ini. Kesedaran untuk mengambil perlindungan, iaitu takaful/insuran dalam kalangan masyarakat terutama golongan Bumiputera   di Malaysia masih rendah. Bagi perlindungan am seperti perlindungan kenderaan dan rumah, mungkin tiada masalah. Itupun kerana undang-undang yang mewajibkan, jika tidak mesti ramai   juga yang tidak mengambil berat. Tetapi, bagi perlindungan diri dan kesihatan, peratusan yang menyertai masih rendah. Walhal, pada pendapat saya, kedua-duanya adalah satu keperluan.   Insuran/takaful sebenarnya melindungi pendapatan dan simpanan kita daripada hangus kerana masalah atau kemalangan yang tidak dijangka dan juga menyediakan perlindungan atau   sumbangan kepada waris jika berlaku musibah ke atas diri pencarum.

5. Pelaburan (Investment)

-Fasa pelaburan adalah fasa di mana kita menukarkan pendapatan dan simpanan kepada aset, tak kira samaada dalam bentuk aset kertas atau aset tetap. Jika kita menyimpan sahaja tanpa   melabur, lama-kelamaan wang simpanan akan terhakis oleh inflasi. Bayangkan, nilai RM 50 atau RM 100 pada hari ini semestinya tidak akan sama pada masa 10 tahun akan datang. Jadi,   membuat pelaburan adalah sangat penting. Dalam kita ghairah untuk melabur, perlulah berhati-hati agar tidak terjebak dengan skim cepat kaya yang menipu. Pelaburan pada tempat yang     betul dengan teknik yang betul dapat mempertingkatkan nilai aset kita. Pelaburan juga dapat menghasilkan pendapatan tambahan jika kena caranya. Bak kata orang, guna duit untuk buat duit.  Ya, risiko dalam pelaburan sentiasa ada, namun itulah cabarannya.

6. Penyucian (Purification)

-Cukai, derma, sedekah dan zakat adalah jalan untuk ‘menyucikan’ harta kita. Konsepnya, untuk harta yang kita peroleh, ada bahagian yang perlu diperuntukkan kepada orang lain. Membayar   cukai untuk membantu kerajaan membangunkan negara dan masyarakat (jika tidak diselewengkan),menderma dan sedekah untuk membantu golongan atau pihak yang memerlukan. Zakat pula untuk membangunkan ummah dan golongan asnaf. Jadi, janganlah sayangkan duit dan culas untuk melakukan fasa penyucian ini

7. Pewarisan (Distribution)

-Harta yang ada kekal di dunia sahaja, tidak akan di bawa ke kubur, waris yang masih hiduplah yang akan menikmatinya. Adakah nanti apabila kita telah pergi, kita mahu meninggalkan waris   bergaduh berebut harta? Atau waris mengalami kesulitan untuk mendapatkan harta yang dulunya kita bertungkus-lumus bina untuk mereka, disebabkan undang-undang dan prosedur yang   leceh? Atas sebab-sebab inilah pentingnya membuat pewarisan sebelum kita meninggal. Wasiat, hibah dan faraid, di fasa inilah peranan mereka. Kesimpulannya, jika ingin mengurus kewangan dengan baik, perlu dilakukan secara teratur dari fasa ke fasa. Kukuhkan pendapatan, supaya lebih senang untuk merancang ke fasa seterusnya. Perbanyakkan simpanan supaya kedudukan kewangan lebih stabil. Kawal perbelanjaan supaya pendapatan yang diperoleh dimanfaatkan kepada perkara-perkara yang perlu sahaja dan seterusnya mengelakkan pembaziran. Lindungi pendapatan dan simpanan dengan insurans/takaful sekadarnya supaya tidak terjejas pada waktu musibah.Laburkan duit supaya aset berkembang dan pendapatan bertambah. Akhir sekali, bahagikan harta seadilnya untuk kesejahteraan waris-waris.