Beza Pinjaman Bank dan Pinjaman Koperasi

Walaupun terdapat persaamaan dalam pelbagai aspek, Pinjaman Bank tetap berbeza dengan Pinjaman Koperasi. Antara perbezaannya adalah:

❒  Kaedah Bayaran Balik – Dilakukan menerusi kaedah potongan gaji peminjam yang diuruskan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Biro ANGKASA) atau Jabatan Akautan Negara. Manakala bayaran balik Pinjaman Bank lazimnya dilakukan melalui autodebit atau bayaran ansuran ‘bank-in’ secara manual. Terdapat juga situasi di mana bank komersial menawarkan pilihan potongan gaji.

❒  Tempoh – Tempoh Pinjaman Koperasi lazimnya sehingga 10 tahun, berbanding tempoh 5-10 tahun yang ditawarkan oleh kebanyakan bank.

❒  Kriteria Kredit – Kriteria kelulusan bagi Pinjaman Koperasi adalah lebih mudah berbanding Pinjaman Bank disebabkan oleh kaedah bayaran balik menerusi potongan gaji. Peminjam yang mempunyai rekod CTOS negatif, komitmen tinggi atau yang ditandakan dengan ‘akaun perhatian khas’ di CCRIS masih ada peluang untuk lulus. Baca di sini untuk ketahui lebih lanjut mengenai CCRIS dan CTOS.

❒  Kadar Faedah & Jumlah Bersih bayaran Keluar (Payout) – Kadar faedah Pinjaman Koperasi biasanya lebih rendah jika dibandingkan dengan bank komersial. Namun, seseorang itu perlu tahu bahawa Pinjaman Koperasi tidak membayar 100% jumlah pinjaman kepada peminjam. Selaku peminjam, anda juga perlu mengetahui jumlah ‘payout’ (cash in hand/bayaran tunai) selain kadar faedah. Pinjaman yang berkadar rendah tak semestinya yang paling berbaloi kepada peminjam, jika kadar payout adalah rendah juga.  Kebanyakan Pinjaman Koperasi mempunyai payout antara lingkungan 75% sehingga 98%. Oleh itu, sentiasa ambil tahu tentang kadar faedah serta jumlah cash in hand/ payout yang akan diterima.

❒  Jenis Pemohon – Pinjaman Koperasi dikhaskan untuk penjawat awam manakala permohonan Pinjaman Bank terbuka kepada pekerja swasta, bekerja sendiri serta pekerja sektor awam.