Bagaimana Untuk Mengenali Penipu Pinjaman Peribadi Bank ? ?

Baru sebentar tadi saya menerima aduan daripada seorang mangsa penipu pinjaman peribadi bank yang mengadu telah ditipu sebanyak RM2,000 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pihak ini telah menelefon beliau dan memperkenalkan diri sebagai agensi dari pinjaman peribadi bank. Beliau menyatakan telah mendapat maklumat prospek daripada borang yang telah di isi online.

Pihak terbabit telah konon-kononnya menguruskan permohonan pinjaman peribadi bank untuk prospek, dan telah lulus. Walau bagaimanapun, oleh kerana kelayakan prospek tidak cukup kuat, scammer atau penipu terbabit meminta wang deposit sebanyak RM2,000 iaitu bayaran ansuran 2 bulan (kononnya) sebelum pinjaman tersebut dimasukkan ke dalam akaun prospek.

Mangsa yang terdesak nak gunakan duit terus masukkan RM2,000 ke akaun penipu terbabit. Hasilnya wang tersebut lesap dan penipu terbabit terus mendiamkan diri.

 

Mengenali Penipu Pinjaman Peribadi Bank

1. Ada Blacklist Bank atau Telah Disenaraihitamkan Bank Pun Boleh Mohon

Ini adalah tanda utama yang mereka menipu. Individu yang telah disenaraihitam oleh Bank, di mana rekod tersebut telah dipaparkan di laporan CTOS – tidak boleh memohon sebarang pinjaman bank. Tidak kisahlah sama ada pinjaman peribadi, pinjaman kereta, pinjaman rumah dan sebagainya – asalkan pinjaman bank.

Jika ada pihak yang mengaku boleh menguruskan permohonan pinjaman bank anda walaupun nama anda telah di blacklist oleh bank di Malaysia – pihak tersebut adalah scammer.

2. Perlu Membayar Deposit, Upfront Atau Wang Pendahuluan

Bayaran deposit, upfront atau wang pendahuluan adalah modus operandi yang selalu digunakan oleh penipu pinjaman peribadi bank. Mereka akan memberi pelbagai alasan untuk meminta wang deposit dari anda.

Nak bayar banker lah, caj proses lah, caj agreement lah, dan bermacam lagi alasan yang akan mereka beri. Selalunya selepas mendapat bayaran deposit, pihak yang tidak bertanggungjawab ini akan menghilangkan diri dengan wang anda. Permohonan pinjaman peribadi anda? Sudah pastilah tidak dihantar pun kepada bank.

Untuk pengetahuan anda, bank tidak akan mengenakan sebarang caj wang deposit, upfront atau wang pendahuluan untuk permohonan pinjaman bank. Segala caj seperti caj proses, caj setem duti, caj insurans dan sebagainya akan ditolak terlebih dahulu daripada jumlah pinjaman anda sebelum bank mengkreditkan duit pinjaman ke akaun anda.

Jadi jika ada pihak yang menyatakan pinjaman anda telah lulus, tapi perlu bayar dahulu caj guaman, caj dokumen, caj proses, caj runner, dan caj segala mak nenek sebelum pinjaman dikreditkan ke akaun anda – block terus pihak terbabit dari contact anda.

Jika mereka ugut akan dakwa anda atau tuntut caj ganti rugi kerana anda tak nak ambil pinjaman yang dah lulus, anda tak perlu risau selagi anda tidak tandatangani apa-apa dokumen dalam bentuk black & white.

3. Skim atau Pelan Pinjaman Peribadi Bank Yang Tak Masuk Akal

Salah satu cara scammer pinjaman peribadi menipu mangsa adalah dengan menawarkan skim atau pelan pinjaman peribadi yang tak masuk akal – iaitu dengan kadar faedah(interest rate) atau kadar keuntungan(profit rate) yang terlalu rendah.

Walaupun kadar faedah dan kadar keuntungan (bulanan atau tahunan) setiap jenis pinjaman dan bank ada berbeza – anda perlu berhati-hati jika ditawarkan skim pinjaman dengan kadar faedah yang tak masuk akal. Tambahan lagi jika mereka menyatakan ini adalah skim pinjaman dari bank untuk meningkatkan keyakinan mangsa.

4. Proses atau Prosedur  Pinjaman Yang Mencurigakan

Proses pinjaman yang betul ialah anda berikan dokumen yang diperlukan seperti slip gaji, penyata bank, penyata KWSP dan sebagainya (bergantung kepada jenis pinjaman peribadi bank), dan bank akan memproses permohonan pinjaman anda.

Jadi jika anda menerima panggilan telefon yang mengatakan mereka adalah daripada agensi yang menguruskan pinjaman peribadi bank, dan anda tak perlu beri sebarang dokumen untuk proses permohonan – anda perlu berhati-hati.

Tak masuk akal hendak memohon pinjaman, tapi tak perlukan dokumen. Sedar-sedar mereka beritahu pinjaman dah lulus, dan perlu bayar sedikit caj sebelum duit disburse masuk ke dalam akaun mangsa – seperti kes yang saya ceritakan pada permulaan artikel ini.