CCRIS & CTOS

Apa itu CCRIS?
CCRIS atau Central Credit Reference Information System menyediakan laporan kredit dan diuruskan oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia. Secara ringkas, CCRIS mengumpul maklumat kredit dari pengendali servis kewangan di Malaysia seperti bank, broker insurans, dan juga syarikat swasta yang menyediakan servis utiliti seperti telekomunikasi. Antara maklumat yang akan terpapar dalam laporan kredit CCRIS ialah pinjaman tertunggak, saman, dan status muflis.

Semua maklumat dan data kemudiannya dimasukkan ke dalam laporan kredit, dan institusi kewangan seperti bank akan mempunyai akses kepada laporan tersebut. Data pada laporan kredit akan dibahagikan kepada tempoh 12 bulan. Ia akan mengandungi kredit maklumat berkaitan seorang individu seperti di bawah:

Kredit tertunggak
Akaun perhatian khas, iaitu akaun dimana kemudahan kredit dibawah penyeliaan institute kewangan.
Permohonon pinjaman kredit dalam tempoh 12 bulan yang telah diluluskan atau dalam proses untuk diluluskan.
Namun, ingat bahawa CCRIS bukan sahaja mengandungi maklumat negatif seseorang individu, tetapi ia juga mengandungi maklumat positif, seperti permohonan pinjaman kredit yang telah diluluskan dan sejarah pembayaran semula yang positif. Ramai masyarakat Malaysia beranggapan CCRIS boleh menyenaraihitam nama seseorang individu yang memiliki corak pembayaran semula hutang yang buruk. Namun , ianya tidak benar. CCRIS tidak mempunyai kuasa untuk menyenaraihitam mana individu, sebaliknya hanya membekalkan data untuk institusi kewangan bagi membantu mereka membuat keputusan.

Anda boleh mendapatkan laporan CTOS peribadi dari Bank Negara, tetapi anda hanya boleh mendapat maklumat anda sahaja. Jadi, anda tidak boleh mendapatkan bantuan orang lain untuk mendapatkan laporan tersebut. Anda perlu menyediakan salinan kad pengenalan dan juga dokumen sokongan yang lain. Anda boleh mendapatkan laporan kredit CTOS anda di ibu pejabat Bank Negara Malaysia atau di cawangan serantau Bank Negara Malaysia .

Apa Itu CTOS?
CTOS merupakan sebuah syarikat swasta yang menyediakan laporan kredit dan juga digunakan secara meluas oleh institut-institut kewangan untuk menentukan kelayakan kredit pemohon, selain daripada menggunakan laporan CCRIS. Biasanya, institut kewangan akan menggunakan lebih dari satu laporan kredit untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan kredit pemohon.

CTOS mengumpul maklumat dalam laporan yang disediakan melalui sumber-sumber awam seperti yang berikut:

Jabatan Pendaftaran Negara
Jabatan Insolvensi Malaysia
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Penerbitan prosiding undang-undang, makluman di akhbar, dan warta kerajaan.
Maklumat yang terkandung dalam laporan CTOS termasuk status muflis individu, tindakan undang-undang, status kes, pemilikan perniagaan dan sebagainya.

Sama seperti CCRIS, CTOS tidak akan mengeluarkan pandangan, komen, atau menyenarai hitam mana-mana individu. Anda boleh mendapatkan laporan CTOS melalui MyCTOS. Pertama, anda perlu daftar diri anda untuk memperoleh ID Pengguna CTOS. Selepas anda mengaktifkan ID, laporan anda boleh diakses bila-bila masa temasuklah melalui aplikasi CTOS.

Jadi, Apakah Perbezaan Antara CCRIS dan CTOS?
Kedua-duanya menyediakan laporan kredit. Bezanya, CCRIS dibawah Bank Negara manakala CTOS pula merupakan syarikat swasta. Satu lagi perbezaan utama ialah bagaimana maklumat tersebut dikumpulkan. CCRIS memperolehi maklumat daripada institusi kewangan. Manakala CTOS mendapatkan maklumat berkaitan kredit daripada sumber awam seperti yang kita dibincangkan sebelum ini. Namun, kedua-duanya menyediakan laporan kredit walaupun perbezaannya adalah bagaimana maklumat kredit tersebut diperolehi.